Putrajaya, 4 Mac 2022 – Portal Redi2Infaq.com telah diwujudkan oleh RediPay Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd. bagi membolehkan masyarakat dapat menyumbang kepada program-program wakaf melalui portal.

Pelancaran portal Redi2Infaq.com ini telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan disaksikan oleh Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi Pusat Wakaf MAIWP, Datuk Dr. Ghazali Md Noor, Ketua Pegawai Eksekutif RediPay Sdn. Bhd., Encik Adam Dahlan, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd., Encik Zainuddin Mohd Salleh dan juga tetamu-tetamu kehormat.

Menurut YB Senator Datuk Haji Idris, kerjasama strategik ini dapat merealisasikan hasrat serta objektif untuk menyantuni keperluan masyarakat dan akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat. Satu portal laman sesawang telah dibina bagi tujuan pendigitalan wakaf. Portal ini dikenali sebagai Redi2Infaq.com dimana ia akan memudahkan masyarakat melaksanakan sumbangan wakaf tunai dengan membuat pilihan pada pelbagai jenis projek atau program yang disediakan oleh pihak Pusat Wakaf MAIWP dan RediPay Sdn. Bhd.

“Dengan platform digital seperti ini, diharapkan sasaran kutipan wakaf tunai pada tahun ini sebanyak lima belas juta ringgit dapat dicapai”.

“Hasil daripada kutipan ini, pelbagai bentuk manfaat wakaf dapat disalurkan dalam pelbagai bentuk keperluan. Sudah tentulah MAIWP perlu bekerja dengan lebih keras untuk membangunkan produk-produk wakaf yang berdaya saing”, ujar YB Senator Datuk Haji Idris.

Tandatangan perjanjian telah disempurnakan oleh Encik Adam Dahlan, Ketua Pegawai Eksekutif RediPay Sdn. Bhd. bersama Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd. yang diperhatikan oleh YB Menteri dan para tetamu kehormat. “Kami merasa berbesar hati atas perlantikan sebagai Al-Qayyim dan amat teruja dapat memainkan peranan dalam melestarikan program wakaf” kata Ketua Pegawai Eksekutif RediPay Sdn. Bhd.

RediPay Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan kemudahan gerbang pembayaran secara atas talian. Tambahan pula, terdapat beberapa sistem perkhidmatan yang dikendalian oleh RediPay Sdn. Bhd., antaranya adalah Redi2Infaq.com, Redi2Stay.com, RediCar, RediGold, dan banyak lagi. Namun begitu, RediPay Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat yang berlandaskan pematuhan syariah.

Terkini, RediPay Sdn. Bhd. dan Redi2Infaq.com telah dilantik sebagai penyedia gerbang pendigitalan daripada Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd. Dengan perlantikan ini, secara tidak langsung kerjasama antara Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd. dengan RediPay Sdn. Bhd. telah terjalin.

Atas dasar perlantikan ini, RediPay Sdn. Bhd melalui Redi2Infaq.com akan menumpukan sistem wakaf selain sistem infaq bersama Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd. Oleh itu, Redi2Infaq.com akan menjadi tunjang utama bagi RediPay Sdn. Bhd. sebagai Al-Qayyim (Ejen Kutipan Wakaf Tunai).